.

Selamat Datang ke blog kami. Selamat datang ke blog saya

Isnin, 21 Julai 2014

Tanda-tanda Kiamat

Tanda-tanda Kiamat


Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, Sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan.?"
Lalu kami menjawab, "Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat." Sabda Rasulullah S.A.W. "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda:-
  1. Asap 
  2. Dajjal 
  3. Binatang melata di bumi 
  4. Terbitnya matahari sebelah barat 
  5. Turunnya Nabi Isa A.S 
  6. Keluarnya Yakjuj dan Makjuj 
  7. Gerhana di timur 
  8. Gerhana di barat 
  9. Gerhana di jazirah Arab 
  10. Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka. 


Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka. Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat. Dajjal boleh membuat apa sahaja perkara-perkara yang luar biasa. Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan di antara kedua matanya tertulis perkataan 'Ini adalah orang kafir'.

Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S. Apabila binatang ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi orang itu 'Ini adalah orang yang beriman'. Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan tertulislah 'Ini adalah orang kafir'. Turunnya Nabi Isa. A.S di negeri Syam di menara putih, beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W. Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar. Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.

Rasulullah S.A.W telah bersabda,
"Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq"


Jika kita perhatikan kini memang benar:
  1. Ghibah merata-rata (memperburuk-burukkan, memfitnah orang juga meleluasa kini) 
  2. Riba meluas tanpa kawalan (shark loan, pinjaman segera, pembelian kereta, rumah dll, bank bersistem riba, termasuk berbagai jenis loan yang "diislamkan" dari luarannya. hatta "study loan" pun) 
  3. Anak zina bertambah (malah pasangan berzina berbangga dengan perbuatan zina dan anak zinanya). 
  4. Orang kaya diagung-agungkan (sampai cium tangan dan merayu) 
  5. Orang fasik bersuara lantang di Masjid (sampaikan pelanggan tetap 4d pun dikhabarkan dilantik sebagai AJK Masjid) 
  6. Ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq (bercakap tentang islam walaupun tanpa ilmu) 

Berkata Ali bin Abi Talib,
Akan datang di suatu masa di mana Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuk sahaja, Al-Qur'an hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah. Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat."


Jika kita perhatikan:
  1. Semakin ramai umat Islam yang tidak menghargai nikmat agamanya sehingga mengabaikan suruhan dan perintahNya sampaikan mengucap pun ada yang tidak tahu. 
  2. Al Quran hanya untuk alunan merdu serta hiasan dan bukan untuk diamalkan dan dihayati. (Paling sedih ada juga sanggup pula menghina Al Quran). 
  3. Masjid berdiri megah dengan hiasan yang berkilauan hanya untuk pelancongan dan berbangga tidak untuk dimakmurkan. 
  4. Ulama dihina dan difitnah oleh orang yang dianggap ulama juga. 

Sabda Rasulullah S.A.W lagi, "Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, orang dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat."

Penaklukan Baitulmuqaddis.
Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda: "Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat. "Baginda menyebutkan salah satu di antaranya : Penaklukan Baitulmuqaddis." - Sahih Bukhari, 

Zina bermaharajalela.
."Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.? - Sahih Muslim

Bermaharajalela alat muzik., tanah runtuh dan perubahan muka.
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka."Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab;"Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita? - Ibnu Majah 

Menghias masjid dan membanggakannya.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid? - Riwayat Nasai. 

Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." -Riwayat Ahmad dan Hakim

Ramai orang soleh meninggal dunia.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran. - Riwayat Ahmad 

Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
"Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka? (orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" -Riwayat Thabrani

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
"Sesungguhnya diantara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." - Riwayat Ahmad 

Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang."

Bulan sabit kelihatan besar.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." - Riwayat Thabrani - Sahih Muslim

Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu? - Sahih Muslim 

Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar" - Riwayat Ahmad 

Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai." 

Gegaran dahsyat hari kiamat 
``Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.'' (Al-Zalzalah: 1 dan 2) 
Huraian 
Hidup manusia di muka bumi ini hanyalah bersifat sementara kerana kehidupan di akhirat sana adalah kehidupan yang kekal abadi. Walau bagaimanapun, sebahagian manusia tidak sedar bahawa hidup mereka cuma sementara, lalu mengejar kehidupan dunia umpama mereka akan hidup selamanya. Pada hal hari 
Kiamat akan tiba pada bila-bila masa dan manusia tidak tahu waktu dan ketikanya. Sungguh luar biasa sekali kejadian hari itu, iaitu hari di mana Allah menepati janji-Nya kepada makhluk ciptaan-Nya. Tiada yang dapat memberi pertolongan dan tiada tempat untuk mereka bersembunyi. Pada waktu itu, bumi akan digegarkan dengan gegaran yang amat dahsyat sehingga terbongkar segala isi bumi yang terpendam selama ini. Langit akan terbelah dan gunung akan musnah berhamburan akibat hentaman yang mengerikan itu. Semua planet di setiap galaksi akan berlaga sesama sendiri mengakibatkan alam maya ini hancur sama sekali. Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati jua. Begitu juga dengan hayat alam akan berakhir dengan kemusnahan dan kehancuran. 

Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Waqi`ah ayat 4-6 yang bermaksud: ``(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sesungguh-sungguh goncangan. Dan gunung ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya. Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.'' 

Begitulah Allah telah membukakan sedikit tabir rahsia-Nya kepada kita mengenai Hari Perjanjian yang sudah pasti menjadi peringatan kepada mereka yang berfikir dan benar-benar berharap keredhaan daripada-Nya. 

PENGAJARAN
Segala apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah benar belaka janganlah disangsikan dan ragu-ragu. Sekiranya kita menghayati apa yang tersirat pada kisah di atas memang kebanyakannya telah berlaku kini. Tak perlu Nostradamus' Prediction untuk kita jadikan panduan atau ikutan seperti orang kafir atau menunggu hasil kajian saintifik tentang amalan dan sunnah Rasullullah s.a.w. Percayalah seyakin-yakinnya dan amalkan


Kesimpulan
Hari kiamat pasti akan tiba, cuma kita tidak mengetahui bila masanya. Alam maya ini akan hancur dengan kemusnahan yang amat dahsyat dan tidak dapat digambarkan oleh pancaindera. Setelah itu bermulalah alam baru, iaitu alam akhirat yang kekal abadi. Kita sebagai manusia perlu sedar bahawa kita adalah milik Allah dan akan kembali kepada-Nya jua. Dengan itu bersedialah menghadapinya dengan amalan-amalan soleh agar mendapat kejayaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan